Kaunseling kerjaya adalah satu bidang kaunseling yang khusus bagi membantu individu yang menghadapi masalah dalam pemilihan kerjaya. Selain itu, kaunseling kerjaya dilihat sebagai satu proses yang mudah dalam membantu individu membuat keputusan yang tepat berkaitan kerjaya yang dipilih oleh mereka. Apa yang penting adalah supaya perkara ini dapat dicapai bagi membantu individu itu mengenali diri sendiri dan mengetahui maklumat lanjutan berkaitan kerjaya pilihan mereka. Jesteru itu, penggunaan ujian dan inventori oleh kaunselor seiring dengan perkembangan ilmu psikologi telah berjaya membantu individu memilih kerjaya yang sesuai dengan ciri-ciri kendiri mereka.
            Dalam memilih kerjaya yang tepat, trait-trait diri individu perlu dikenal pasti dan turut mengkaji kerjaya yang sesuai dengan trait-trait itu. Analisis pekerjaan yang dijalankan memerlukan pendekatan saintifik yang dibangunkan khusus bagi mengkaji pekerjaan yang dipilih secara tepat. Model analisis pekerjaan ini adalah satu model baru yang diubahsuai daripada model yang diperkenalkan oleh Frank Parsons. Dengan adanya model itu, maka ujian ketepatan dalam memilih kerja yang sesuai dapat dijalankan berdasarkan trait-trait diri individu itu.


Definisi Kaunseling Kerjaya

Kaunseling kerjaya adalah satu proses interpersonal yang direka bentuk bagi membantu individu-individu yang mengalami masalah perkembangan kerjaya iaitu proses memilih, memasuki, menyesuaikan diri serta memajukan diri dalam pekerjaan (Brown & Brook, 1986).Kaunseling kerjaya adalah satu proses psikologi sepanjang hayat yang berinteraksi secara dinamik dengan peranan lain dalam kehidupan. Masalah kerjaya termasuklah ketidakupayaan membuat pilihan, ketegangan dan penyesuaian, ketidaksesuaian dalam pekerjaan dengan individu dan integrasi diri dengan orang lain seperti ibu bapa dan rakan-rakan (Sidek Mohd Noah, 2002).

Keperluan Kaunseling Kerjaya

Terdapat banyak punca yang menimbulkan kesedaran berkaitan perlunya pendekatan kaunseling kerjaya yang lebih menyeluruh dan lengkap. Dalam menangani permasalahan ini, kaunselor perlu mempunyai kemahiran dalam kaunseling kerjaya dan kaunseling individu. Ini kerana banyak klien membawa masalah yang rumit dan kompleks yang tidak dapat diselesaikan melalui pendekatan yang ringkas. Kaunselor perlu melakukan sesuatu kerana ada di kalangan klien yang tidak mampu membuat pemilihan kerjaya disebabkan masalah psikologi. Klien yang lain pula dapat membuat pemilihan yang baik jika ada bantuan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kerjaya-kerjaya itu.            Perancangan kerjaya yang baik akan mengambil kira peranan-peranan lain yang terlibat dalam kehidupan individu seperti peranan keluarga dan masyarakat. Kajian yang dijalankan turut mengaitkan masalah kesihatan dengan isu kerjaya. Contohnya, kaunselor perlu mengenal pasti klien yang mengalami masalah kesihatan mental dan menyelesaikannya sebelum mengadakan sesi kaunseling kerjaya.

Kemahiran-kemahiran Asas Kaunseling Kerjaya

Cara pelaksanaan kaunseling kerjaya dapat dilakukan dalam dua cara iaitu secara individu dan secara kelompok. Kemahiran-kemahiran asas yang digunakan dalam kaunseling individu dan kaunseling kelompok adalah sama dengan kemahiran asas yang digunakan dalam kaunseling kerjaya. Kemahiran-kemahiran asas ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu kemahiran melayan tanpa lisan dan kemahiran melayan dengan lisan.            Kemahiran melayan tanpa lisan atau bahasa badan ini memerlukan kaunselor memerlukan pergerakan anggota badan, jarak posisi badan, mimik muka, kontak mata, dan nada suara yang memberi galakan kepada klien supaya dirinya dilayan dan diterima tanpa syarat. Bagi kemahiran melayan dengan lisan memerlukan kaunselor menggunakan perkataan-perkataan yang bersesuaian bagi menerokai permasalahan klien seperti soalan tertutup, soalan terbuka, minta penjelasan, dorongan minimum, parafrasa, refleksi perasaan, membuat rumusan, konfrontasi, berdiam diri, memberi maklumat, memimpin atau memfokus dan membuat tafsiran.