Proses kaunseling kerjaya model membuat keputusan adalah hasil pengubahsuaian daripada proses kaunseling individu ataupun kaunseling peribadi membuat keputusan. Proses ini akan bermula dengan membina hubungan kaunseling, meneroka latar belakang klien yang berkaitan kerjaya dan meneroka kekuatan dan potensi klien. Seterusnya mengenal pasti matlamat kerjaya, mengenal pasti alternatif sedia ada, klien membuat pemilihan kerjaya,  membuat tindakan, penamatan sesi kaunseling dan susulan.

Membina Hubungan Kaunseling

Membina hubungan baik antara kaunselor dan klien. Kemesraan ini adalah prasyarat kepada kepercayaan. Kepercayaan daripada klien akan mendatangkan kerjasama. Proses membina hubungan ini penting kerana ia bakal menentukan kejayaan sesi kaunseling itu.

Meneroka Latar Belakang Klien yang Berkaitan Kerjaya

Setiap klien datang daripada pelbagai latar belakang, budaya, tahap sosial, kecerdasan, pendidikan dan sosioekonomi yang berbeza. Oleh itu, perkara ini perlu disedari oleh kaunselor sebelum melakukan penerokaan pada klien. Beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh kaunselor iaitu sikap klien pada ahli keluarganya, sekolah, pencapaian, perkara yang diminati, pengalaman bekerja, kesanggupan, dan kerelaan klien bagi menerima perubahan dalam hidup mereka.

Meneroka Kekuatan dan Potensi Klien

Kaunselor perlu mempunyai ciri-ciri tertentu bagi menerokai kekuatan dan potensi klien kerana setiap kerjaya memerlukan ciri-ciri tertentu untuk berjaya. Penerokaan yang dapat dilakukan oleh seseorang kaunselor adalah berkenaan minat, personaliti, nilai dan pencapaian individu, sikap, konsep kendiri, aras-aras motivasi dan sebagainya.

Mengenal Pasti Matlamat Kerjaya

Proses ini bertujuan bagi mengenal pasti beberapa matlamat yang dijangkakan sesuai dengan potensi diri klien. Kaunselor dan klien perlu mengenal pasti beberapa matlamat kerjaya yang benar-benar sesuai dengan diri klien secara bersama-sama.

Mengenal Pasti Alternatif Sedia Ada

Bagi memastikan beberapa alternatif sedia ada yang berkaitan dengan beberapa matlamat yang sudah dikenal pasti sebelum ini, kaunselor dan klien perlu bersama-sama mengenal pasti kebaikan dan keburukan setiap alternatif itu.

Membuat Pemilihan Kerjaya

Berdasarkan matlamat dan alternatif yang telah dikenal pasti oleh kaunselor dan klien, perbincangan akan dilakukan bagi mencapai satu keputusan dalam membuat pemilihan yang terakhir. Namun begitu, keputusan akhir berkaitan matlamat kerjaya akan diputuskan sendiri oleh klien.

Membuat Tindakan
Klien akan membuat tindakan selepas keputusan dan pilihan dibuat. Klien akan berbincang bersama-sama kaunselor berkenaan pelan bertindak ataupun perancangan bagi mencapai matlamat itu. Membuat tindakan adalah proses pelaksanaan segala perancangan yang dibuat bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Oleh itu, klien perlu menjelaskan usaha bersungguh-sungguh yang diperlukan bagi mencapai matlamat kerjaya yang diidam-idamkan.  
Penamatan Sesi Kaunseling
Proses penamatan sesi akan dilakukan apabila klien berpuas hati dan berjaya menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan pemilihan kerjaya. Penamatan sesi ini dilakukan secara formal bagi menamatkan hubungan kaunseling yang wujud antara kaunselor dengan klien.
Susulan
Susulan adalah proses menyemak untuk melihat bagaimana klien melakukannya dan menghormati apa-apa masalah yang timbul ke atas klien. Ia juga merupakan proses penyeliaan yang positif dan boleh menggalakkan kepada pertumbuhan klien seperti yang diinginkan. Susulan yang dibimbing dalam jangka masa pendek ialah anatara 3 hingga 6 minggu dan jangka masa panjang sekurang-kurangnya 6 bulan selepas penamatan.