Terdapat beberapa model yang berkaitan dengan kaunseling kerjaya. Antara model itu adalah model trait dan faktor, model pendekatan teori super, model membuat keputusan dan model kaunseling kerjaya berorientasikan matlamat. Walaupun kesemua model dan pendekatan ini berbeza daripada segi falsafah dan prosesnya, namun matlamatnya tetap sama iaitu membantu klien yang bermasalah dalam menentukan pemilihan kerjaya mereka.

Proses Kaunseling Kerjaya Model Trait dan Faktor
Terdapat empat peringkat dalam melaksanakan proses kaunseling kerjaya model trait dan faktor. Peringkat pertama adalah membina hubungan dengan klien dan peringkat kedua, membuat penilaian peribadi berkaitan dengan kerjaya seperti temu duga, ujian, inventori, senarai semak dan maklum balas ujian dan kaunselor. Peringkat ketiga, eksplorasi kerjaya seperti bahan bertulis, temu duga pekerja, sistem berkomputer dan gambaran pekerjaan manakala peringkat keempat adalah mengintegrasikan maklumat serta membuat pilihan akhir.

Proses Kaunseling Kerjaya Model Pendekatan Teori Super
Diasaskan oleh Donald E. Super yang merupakan pakar terawal dalam dunia kaunseling kerjaya. Cadangan yang dikemukakan oleh beliau adalah pendekatan kaunseling kerjaya yang bergantung pada kedudukan klien dalam proses keseluruhan kaunseling kerjaya itu. Terdapat beberapa peringkat yang perlu dilalui oleh kaunselor apabila mengadakan sesi kaunseling bersama-sama klien. Idea Super ini dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu:

1)      Peringkat Pertama
Pada peringkat awal proses kaunseling, Super mencadangkan pendekatan yang tidak berarah iaitu klien digalakkan meneroka diri. Apabila peringkat ini menampakkan hasil, kaunselor akan menolong klien dengan mengarahkan melakukan proses-proses sendiri berdasarkan tajuk-tajuk khusus yang perlu diterokai. Klien akan menerima kendiri dan wawasan melalui refleksi dan penjelasan kaunselor berkenaan kenyataan berkaitan klien. Cara ini membolehkan kaunselor mengekalkan pendekatan yang bersifat tumpuan klien.

2)      Peringkat Kedua
Pada peringkat kedua memperlihatkan perubahan yang besar iaitu kaunselor akan memberikan struktur dan arahan untuk klien mengendalikan sumber maklumat yang khusus seperti ujian-ujian, risalah pekerjaan, pengalaman bekerja, pencapaian akademik, dan kemahiran-kemahiran sokongan seperti memandu, berbahasa asing, komputer dan sebagainya. Proses kaunseling ini akan kembali semula ke peringkat awal apabila kurang berarah jika perasaan klien meningkat jika disebabkan sumber maklumat yang khusus itu.

3)      Peringkat ketiga

Pada peringkat ketiga, klien akan dibantu bagi membuat pemilihan sendiri berkenaan rancangan tindakannya dalam membuat keputusan dan penglibatan sepenuhnya untuk pemilihan kerjaya.