Pilih kursus yang selari dengan minat dan kelayakan
Bila nama sudah dipanggil ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT), gembira bukan kepalang. Ibu dan ayah pasti gembira bila mendapat tahu kejayaan anakandanya. Boleh jadi bahan bualan bila berbicara dengan teman dan jiran. Bila si anak sudah mendaftar di IPT, barulah segala-galanya bertukar rupa. Kursus yang dipilih tidak kena dengan minat dirinya. Ada kes di mana kursus lain yang diminta, kursus lain pula yang dapat.
Boleh jadi, kelayakan tidak standing dengan minat biar pun minat boleh menjadi faktor pendorong untuk belajar dengan lebih serius.  Apabila minat dan akademik seiring, faktor lain seperti peluang kerjaya turut mempengaruhi perancangan masa depan. Sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi, situasi ini bakal menjadi persoalan selepas majlis graduasi nanti.
Ini bukan isu lama atau baru. Ia adalah isu sepanjang masa. Minat tidak cukup kerana peluang kerjaya turut memainkan peranan demi kecemerlangan masa depan. Kursus yang dipilih di IPT. Pengalaman pertama menjejakkan kaki ke menara gading adalah permulaan bagi langkah yang seterusnya.
Pelajar di IPT perlu sedar bahawa setiap kursus yang dibangunkan mempunyai objektif yang tersendiri contohnya mengisi kekosongan industri kerjaya awam dan swasta. Kursus yang ditawarkan mungkin tidak ada pasaran di peringkat tempatan namun ada di peringkat antarabangsa. Jadi setiap pelajar harus berfikir secara profesional kerana ramai lagi lepasan SPM tidak dapat masuk ke IPT.

Kelebihan belajar ikut minat

Tidak dinafikan, minat memainkan peranan semasa belajar di IPT. Semangat untuk belajar lebih tinggi kerana minat menjadi pendorong untuk terus berjaya. Setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah dapat disiapkan dengan lebih cepat. Selain itu, minat juga dapat memberi motivasi yang berterusan supaya keputusan ujian atau peperiksaan cemerlang sehingga tamat pengajian.

Kelebihan belajar ikut kelayakan

Setiap kursus yang ditawarkan di IPT mempunyai syarat yang berbeza untuk memasukinya. Syarat yang ditetapkan oleh bidang kejuruteraan pasti tidak sama dengan bidang kesusasteraan. Sekiranya kursus yang dipilih tidak mengikut kelayakan, mudarat pasti menimpa kepada pelajar tersebut contohnya mendapat CGPA yang rendah atau belajar dalam keadaan yang tertekan.
Mengapa tertekan? Ini boleh disebabkan subjek yang dipelajari amat sukar untuk difahami dan diikuti. Nota yang diberi pun sukar difahami, apatah lagi nak menjawab soalan-soalan ujian yang diberi. Risiko untuk ditendang keluar pada setiap semester terdedah setiap masa. Bila sudah diberhentikan pasti sukar untuk memohon semula kursus yang dipinta.

Pelan tindakan yang harus dilakukan

Seharusnya pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke IPT perlu merangkakan pelan kejayaan mereka sebelum membuat sebarang permohonan. Pilihan kursus yang betul dapat meletakkan diri kepada puncak kejayaan walau pun ianya bukanlah perkara yang mudah. Minat dan kelayakan perlu diseimbangkan semasa membuat pemilihan kursus.
Buat semakan pada syarat dan kelayakan kerana setiap bidang perlukan kelayakan yang berbeza. Sebahagian bidang perlukan keputusan yang cemerlang dalam subjek matematik, sains dan bahasa Inggeris. Selain itu, lihat permintaan di pasaran kerjaya yang berkaitan dengan bidang tersebut. Semak dengan portal kerjaya yang mempunyai statistik berkaitan dengan industri pekerjaan.
Perkara yang paling penting sekali ialah restu dari ibu bapa. Mereka adalah faktor kejayaan dalam hidup setiap insan. Dapatkan nasihat daripada mereka atau sekurang-kurangnya berbincang dengan bidang yang dipilih. Paling tidak, hubungi sahaja pihak pentadbiran IPT untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kursus pilihan anda.